Wednesday, January 5, 2011

histeria

 Sekadar renungan bersama..
 Anda ingat lagi kes ini?

 OGOS 2009 , ia menandakan sudah sebulan aku mengikuti perkembangan masalah
 histeria melibatkan lebih 30 pelajar di sebuah sekolah di semenanjung
 tanah air (maaf, tak perlu sebut nama tempat. saya tidak mahu lokasi saya
 dan SHAHi dikesan 'sesetengah orang'). Masalah itu bermula sejak April
 2009 dan terus berlarutan sehingga Ogos tanpa penyelesaian serta
 penjelasan yang kukuh. Malah, ia berlaku setiap hari.

 Pelbagai teori muncul dari mulut penduduk-penduduk setempat dalam
 menghuraikan punca sebenar masalah itu tercetus. Guru-guru juga tidak
 terlepas daripada mengutarakan teori-teori mengenai punca terjadinya
 serangan histeria di sekolah itu.

 Aku pula yang selalu hadir memantau bagi mendapatkan bahan berita di
 sekolah itu juga tidak terlepas daripada membuat tanggapan terhadap punca
 berlakunya histeria itu. Tanggapan yang aku buat pula hanya bersandarkan
 kepada teori-teori penduduk setempat dan guru-guru sekolah itu.

 Disebabkan selalu sahaja berita mengenai kejadian itu tersiar di dada
 akhbar, nama aku mula menjadi tumpuan sejumlah bomoh, pengamal perubatan
 tradisional, pakar psikologi, pakar psikiatri dan pakar perubatan
 alternatif. Mereka semua tidak putus menghubungi aku, ada yang mahu
 menghulurkan bantuan kepada pelajar sekolah malang itu, ada pula yang
 hanya sekadar mahu tahu cerita sebenar dan ada pula bomoh palsu yang hanya
 mahu mempergunakan aku untuk meraih glamer di dada akhbar.

 Bahkan, ada juga seorang psikik dari Indonesia yang datang menemui aku
 untuk menghulurkan bantuan kepada pelajar mangsa histeria di sekolah itu.
 Psikik itu ternyata seorang psikik, aku sudah mengujinya dengan modul aku
 sendiri. Namun, dia juga tidak berjaya memulihkan keadaan di sekolah itu.
 Histeria terus berlarutan.

 Sepanjang memantau keadaan di sekolah itu, aku sempat menemui beberapa
 pelajar untuk ditemubual sebagai responden berita. Melalui temubual itu,
 pelajar-pelajar memberitahu aku bahawa mereka ternampak beribu-ribu
 makhluk hitam merayap di atas tanah, di lantai bilik kelas, di atas
 siling, di papan hitam dan sebagainya.

 Ada pula yang besar setinggi bangunan tiga tingkat, ada yang kecil, ada
 yang seperti budak, ada seperti perempuan, ada juga seperti lelaki, semua
 makhluk itu berwajah hodoh. Ada juga seperti seorang ‘nenek’ yang gemar
 memanjat di belakang pelajar sekolah itu sehingga menyebabkan mereka
 terbongkok-bongkok menampung beratnya makhluk seperti nenek itu. Nenek itu
 sangat gemar menunggang manusia.

 Malah pelajar sekolah itu turut beritahu aku bahawa mereka pernah
 mengadakan majlis bacaan Yassin dan doa selamat di sekolah itu untuk
 memohon perlindungan Allah daripada gangguan makhluk halus. Menurut
 seorang pelajar perempuan yang menceritakan perkara itu kepada aku, dia
 beritahu bahawa dia didatangi ‘nenek’ tadi semasa sedang membaca Yassin.
 Nenek itu sedikit pun tidak gentar dengan bacaan al-Quran. Nenek itu
 dengan wajah bengis membisikkan ke telinga pelajar itu: “La ila, La ila,
 La ila..” yang bermaksud ‘Tiada tuhan, tiada tuhan, tiada tuhan..”
 sebanyak berkali-kali dengan suara menakutkan. Pelajar itu ketakutan
 ketika tiada siapa melihat perkara yang dia sedang lihat ketika itu. Dia
 kemudian diserang histeria ketika majlis doa selamat itu.

 Namun, kisah itu tidak aku laporkan dalam laporan akhbar kerana berasa
 kekok untuk menceritakan semuanya dengan terperinci. Kini, dengan ikhlas
 aku lapor kepada pembaca blog ini semua.

 Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menamatkan episod histeria di sekolah
 itu, sudah berpuluh-puluh juga bomoh dan pengamal perubatan tradisional
 datang tampil untuk membantu tetapi gagal. Pada masa yang sama juga,
 berpuluh-puluh lagi menelefon aku untuk menyatakan mereka mahu
 menghulurkan bantuan. Kemudian setiap panggilan telefon seterusnya, aku
 minta mereka berhubung terus dengan pengetua sekolah. Aku sudah penat
 melayan mereka semua kerana aku juga ada tugas lain yang harus
 disempurnakan.

 Kemudian pada September, seorang alim dari Perak menghubungi aku. Dia
 memperkenalkan dirinya sebagai Pak Ku (bukan nama sebenar) dan menyatakan
 kesediaannya untuk membantu pelajar sekolah itu menyelesaikan masalah
 histeria. Katanya, dia bukan pengamal perubatan, dia juga bukan bomoh, dia
 hanya mahu membantu. Keikhlasannya terpancar jelas walaupun kami hanya
 bercakap melalui telefon pada ketika itu. Aku setuju, kemudian aku
 menghubungi pengetua sekolah itu dan menyatakan niat murni Pak Ku.

 Selang dua hari selepas itu, Pak Ku tiba di sekolah itu dan mahu berjumpa
 dengan aku untuk menyatakan terima kasih atas bantuan yang aku berikan.
 Aku tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah itu untuk melihat proses
 pengubatan yang dilakukan Pak Ku. Aku hanya menunggu dari luar pagar.

 Aku ingin melihat, lalu aku telefon pembantu Pak Ku menggunakan Video Call
 3G dan aku menyaksikan pengubatan yang dilakukan Pak Ku. Biasa saja kaedah
 pengubatan Pak Ku, tak ada yang istimewa. Hanya sekadar membaca ayat
 al-Quran dan menghembus pada segelas air, lalu dipercikkan ke ubun-ubun
 pelajar yang terkena histeria.

 Beberapa jam kemudian ketika aku sedang duduk di luar pagar sekolah, aku
 lihat Pak Ku mengekori seorang pelajar perempuan yang sedang dalam keadaan
 histeria (sampuk). Budak perempuan itu membawa Pak Ku ke satu kawasan dan
 menuding jari ke arah satu sudut. Kemudian dari jauh aku lihat Pak Ku
 berubah menjadi sedikit terkejut dengan benda yang ditunjukkan budak
 perempuan itu kepadanya. Pak Ku membaca sesuatu dan menyapu kepala budak
 itu dengan air, budak itu rebah dan kemudian dipapah guru-guru wanita.
 Budak perempuan itu adalah murid terakhir yang disembuhkan pada hari itu.

 Pak Ku kemudian bertemu semua ibu bapa pelajar berkenaan dan menyampaikan
 pesanan mengenai cara mengelak anak mereka ‘diserang’ lagi pada masa akan
 datang. Apabila kelihatan seperti selesai semuanya, Pak Ku melangkah
 keluar dari pagar sekolah dan bertemu dengan aku.

 “Dah beres ke Pak Ku?” aku tanya.
 “Belum. Malam ini, Pak Ku nak hang ikut Pak Ku. Itu pun kalau hang tak ada
 urusan lain malam ni.” kata Pak Ku dalam dialek Perak Utara.
 “Insya-Allah. Lagipun isteri dan anak saya ada di kampung hari ni. Boleh
 saja nak ikut Pak Ku, tapi pukul berapa nak jumpa?” aku balas.
 “Kita jumpa solat Maghrib sama-sama nanti di masjid depan tu.” kata Pak
 Ku.


 Menjenguk dari luar tingkap

 Malam itu selepas selesai solat Maghrib, Pak Ku berpesan kepada aku supaya
 menjaga wuduk supaya tidak terbatal. Pak Ku juga berpesan supaya aku
 berniat dalam hati untuk terus pergi ke masjid untuk menunaikan Isyak
 apabila tiba waktu.

 Pak Ku membawa aku ke belakang sekolah itu, dia duduk di sebelah kanan aku
 dan pembantunya di sebelah kiri aku.

 “Pak Ku nak tunjuk satu perkara kat hang. Tapi Pak Ku pesan, jangan
 langkah ke depan atau ke belakang. Tetap berdiri tegak, jangan
 bergerak-gerak. Banyakkan bertasbih dan jadikan hati tak sabar nak
 menunaikan Isyak pula selepas ini.” pesan Pak Ku.

 Aku mengangguk tanda faham walaupun aku sebenarnya kurang faham tujuan Pak
 Ku. Kemudian Pak Ku membaca ayat-ayat suci al-Quran dan diakhiri
 ‘sodaqollah-hul-azim’.
 Pak Ku kemudian melafazkan:

 “Kamu juga makhluk Allah. Kami juga makhluk Allah, tapi kami khalifah yang
 beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya,
 kitab-kitab-Nya dan semua janji-janji-Nya. Aku berserah kepada Allah, Maha
 pencipta yang menciptakan ‘kamu’ dan kami. Perlihatkan anak Adam ini
 dengan dunia kamu, dengan kalimah La-ila-ha-illallah.” lafaz Pak Ku.

 Selepas kata-kata itu dilafazkan, terlihat seperti ada tingkap. Semakin
 lama, semakin luas bukaannya. Aku lihat ada perempuan cantik menanggalkan
 pakaiannya satu persatu di depan mataku. Kemudian aku sayup-sayup
 terdengar suara Pak Ku berulang kali memesan ‘jangan melangkah walau
 setapak’. Terdengar suara Pak Ku begitu jauh sekali walaupun hakikatnya
 Pak Ku hanya duduk beberapa inci di sebelahku.

 Aku lihat ada dunia di belakang wanita itu. Ramai juga dayang-dayangnya
 yang cantik-cantik. Ada juga ular  jinak berlingkar-lingkar di kaki wanita
 yang sudah tidak berpakaian itu. Aku tetap berpegang kepada pesanan Pak
 Ku, jangan bergerak walau setapak.

 Kemudian aku terdengar suara wanita itu seperti dia berbisik ke telingaku
 walaupun bibirnya sedikit pun tidak bergerak: “ Kamu manusia yang
 menginginkanku, aku berikan segala yang kamu mahu, melangkahlah ke arah ku
 ,” itu bisikan yang menyusup deras ke pangkal jiwa, sekadar yang aku masih
 ingat.

 Perlahan-lahan, wajah wanita muda itu bertukar hodoh. Ular jinak tadi pula
 semakin ganas seperti mahu membaham aku.

 Sayup-sayup, aku terdengar satu suara seperti memanggil-manggil jiwaku.
 Suara itu sebati dengan niatku sebelum itu. Tingkap itu terus tertutup
 sedikit-demi sedikit, sempat juga terlihat ‘anak-anak kecil’ berlari
 menyusup masuk ke tingkap yang sedang tertutup itu. Terasa belakangku
 ditepuk, aku dengar suara Pak Ku membisikkan dua kalimah syahadah di
 telingaku. Kemudian, aku terasa seperti terjaga daripada lena.

 Pak Ku kemudian membaca sesuatu dan melontar beberapa ketul batu bersama
 pembantunya ke arah kawasan yang aku menghadap tadi.

 “Jom kita pergi sembahyang Isyak,” itulah peringatan Pak Ku sebaik aku
 ‘terjaga’.

 Selesai solat Isyak, Pak Ku menceritakan perkara sebenar kepada aku.
 Menceritakan mengenai perkara yang aku lihat sebentar tadi tetapi tidak
 faham.

 “Pak Ku suruh hang jaga wuduk supaya hang tak disentuh makhluk tadi. Pak
 Ku suruh hang kuatkan azam untuk tunaikan solat Isyak supaya azan Isyak
 yang hang dengar tadi itu dapat panggil jiwa hang daripada terus terbuai
 dengan godaan syaitan. Niat untuk tidak mahu tinggalkan waktu Isyak itulah
 yang menguatkan jiwa hang.

 “Jiwa hang terpanggil oleh azan tadi disebabkan hang niat nak solat dengan
 ikhlas. Syaitan tak mampu goda manusia kalau manusia tu ikhlas. Itu
 senjata kita” kata Pak Ku.

 “Yang tadi tu syaitan?” aku tanya.

 “Ya. Itu syaitan yang sangat benci manusia dan selalu mahu menyesatkan
 manusia. Dia (syaitan) berusaha untuk goda dengan cara tadi (menjelma
 wanita berbogel) sebab dia tahu isteri hang tak ada di rumah. Sebab dia
 tahu hang rindu isteri hang.

 “Tapi mujur hang tak melangkah walau setapak. Sebab kalau hang melangkah
 walau setapak tidak kira ke depan atau ke belakang pada masa tu, hang akan
 melangkah masuk ke dunia ‘dia’. Kita manusia ni dilarang masuk ke dunia
 dia (syaitan). Yang hang tengok tadi cuma dari luar pintu. Hang tak masuk
 pun dalam dunia tu.,” kata Pak Ku.

 “Tapi, kenapa Pak Ku buat macam tu. Saya tak mintak pun Pak Ku tunjuk
 semua tu kat saya,” aku menyoal.

 “Pak Ku buat macam tu sebab Pak Ku nak bagi peluang hang tengok apa yang
 sebenarnya ada di belakang sekolah ni. Sebab Pak Ku yakin, hang takkan
 melangkah masuk. Atas sebab tu Pak Ku bagi peluang kat hang,” kata Pak Ku.


 “Sebelum saya sedar tadi, ada ‘benda’ macam budak-budak kecil berlari
 masuk ke situ. Apa benda tu? Lepas tu, apa yang Pak Ku lontar batu?” aku
 tanya lagi.

 “Itu juga syaitan, jin. Lontar batu tu sebagai tanda benci kepada syaitan,
 tapi tak sama macam melontar di Mekah. Lontar tu sebagai amaran supaya dia
 jangan ganggu anak Adam lagi. Makhluk-makhluk kafir tu lari masuk ke dunia
 dia selepas dengar azan Isyak. Pak Ku pilih waktu antara Maghrib dengan
 Isyak sebab waktunya pendek. Kalau Pak Ku ambil waktu antara Isyak dengan
 Subuh, itu nampaknya hang kena tahan godaan dalam tempoh yang lama. Lagi
 pula kalau wuduk terbatal antara waktu yang panjang tu, maka lagi
 senanglah dia nak goda.

 “ Pak Ku buat ni sebab dapat rasa yang hang ni susah nak percaya kat
 bomoh-bomoh tipu yang hanya nak ambik kesempatan atas hang untuk glamer di
 surat khabar. Pak Ku buat ni sebagai nak bagi hadiah atas kesudian hang
 bagi peluang kat Pak Ku untuk tolong budak-budak ni. Terima kasih sebab
 percaya dengan niat Pak Ku. Tak perlu tulis cerita Pak Ku cuba ubati
 budak-budak sekolah ni dalam surat khabar,” jelas Pak Ku.

 Kemudian Pak Ku beritahu aku, dia tidak mengubat orang. Dia hanya mahu
 menolong budak-budak sekolah itu yang mahu belajar dan terganggu setiap
 kali ada kejadian histeria. Dia tidak pandai mengubat orang, dia hanya
 ‘menyuruh benda itu’ balik ke dunia mereka. Itu saja. Kata Pak Ku, dia
 tidak pandai mengubat saka, dia juga tidak pandai mengubat santau, tetapi
 dia boleh melihat dan berunding dengan makhluk-makhluk itu. Tetapi juga,
 dia hanya boleh berunding dengan makhluk-makhluk halus yang tidak ada
 perjanjian dengan manusia. Aku sukar mempercayainya, tetapi Pak Ku sudah
 buktikan kepada aku. Itu kelebihan yang Pak Ku ada.


 Kes selesai

 Seminggu kemudian, masalah histeria itu berakhir. Jika ada yang
 tertanya-tanya bagaimana isu histeria di sekolah itu berakhir, Pak Ku lah
 orang yang menamatkannya dengan izin Allah. Aku pula sudah tidak perlu
 lagi berulang-alik ke sekolah itu untuk melapor berita yang aku sudah
 bosan menulisnya setiap hari. Aku sudah boleh memberi tumpuan kepada
 berita-berita lain terutama berita jenayah yang sangat aku suka tulis.

 Pengalaman itu juga membuktikan bahawa azan mempunyai kuasa dalam
 mensejahterakan jiwa. Wuduk juga mempunyai kuasa sebagai perisai
 pertahanan diri daripada godaan syaitan. Niat yang mahu ke jalan Allah
 juga mempunyai kuasa yang akan menjadikan jiwa sebati dengan segala
 suruhan-NYA. Semua itu akan berkoordinasi dengan harmoni dalam tubuh
 manusia, menjadikan kita sedar tujuan kita diciptakan. Aku sudah
 merasainya, tapi sukar untuk aku buktikannya.

 Sekali lagi, tidak ada bukti logik dalam perkara kuasa azan, wuduk dan
 niat. Tetapi, suara azan lah yang memanggil jiwa aku supaya sedar dengan
 niat aku sebelum itu. Ketika azanlah aku melihat ada ‘anak-anak’ berlari
 menyusup masuk ke alam itu. Aku juga tidak paksa pembaca semua percaya,
 mungkin ada yang kata ini hanya cerita karut. Jika karut bagi anda, maka
 terpulanglah.
 --

 Jangan pernah takut setiap kali melihat syaitan, jin atau
 hantu…makhluk-makhluk itu akan tersenyum bangga apabila mengetahui manusia
 berasa lebih takut kepada mereka melebihi rasa takut kita kepada Allah.


 Hanya takut kepada Allah…

2 comments:

  1. saya pernah le dgr, ustaz ni kata..jin syaitan umpama lalat yang tak pernah hilang..kita sbg manusia, pandai pandai la berlindung dgn apa cara sekalipun, dan berlindung dgn ayat ayat Allah tanpa rasa jemu. Memang tugas mahkluk tu menyesatkan manusia jd kita kena berlindung dan mencari kekuatan jiwa dan beramal.

    ReplyDelete
  2. operasi melawat BlogKawanku..

    Fuhh.. cerita menarik.. kalu la sy kat tmpt awak... risau melangkah je..

    Jom Layan ni.. INFO :: Rahsia Tambah Traffic dan Follower ke blog anda .. http://blogmacammacamada.blogspot.com/2011/01/info-rahsia-tambah-traffic-dan-follower.html

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...